Wednesday, July 17, 2013

HOK ALOH...WATPER GOK DIPUKUL ISTERI TU....

Kuala Lumpur: Kepalanya dihentak ke dinding selain ditampar, ditumbuk dan disepak lebih 20 minit. Itu ‘harga’ terpaksa dibayar seorang wanita berusia awal 20-an kerana dikatakan tidak mengejutkan suaminya bangun bersahur, semalam.

Gambar Hiasan

Dalam kejadian jam 8 pagi di rumah mereka di Kampung Baru, di sini, isteri yang cedera di kepala dan badan akibat tindakan ganas suaminya membuat laporan di balai polis berhampiran rumahnya.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian isteri muda yang belum mempunyai anak itu terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi pinggan pecah di dapur rumahnya.

“Dia bergegas ke dapur dan melihat suaminya sedang menghempaskan pinggan. Apabila ditanya mengapa, lelaki itu tidak memberi jawapan sebaliknya memaki hamun mangsa.

“Selepas puas memaki hamun baru suaminya yang berusia 20-an itu menjelaskan dia berang kerana isterinya tidak mengejutkannya bangun bersahur,” katanya. Menurutnya, mangsa memberitahu dia sudah mengejutkan suaminya jam 5 pagi namun tidak diendahkan menyebabkan dia bersahur seorang diri.

Sumber itu berkata, mangsa kemudian cuba menenangkan suaminya itu dengan meminta maaf di atas kesilapannya, namun dia dibelasah.

“Mungkin disebabkan tidak puas hati dengan penjelasan isterinya, suspek hilang pertimbangan lalu menumbuk, menampar dan menyepak isterinya itu.

“Lebih kejam, lelaki terbabit turut menghentak kepala isterinya ke dinding rumah dan hanya berhenti memukul mangsa selepas wanita itu hampir pengsan,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian dengan selamba meninggalkan rumah tanpa menghiraukan isterinya yang kesakitan manakala mangsa segera menghubungi rakannya meminta bantuan sebaik saja ditinggalkan.

“Mangsa yang dibantu rakannya itu membuat laporan di balai polis berhampiran rumahnya sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...